5 Tempat Yang Menarik Di Baling
Tempat menarik

5 Tempat Yang Menarik Di Baling

Jika anda mencari destinasi ecotourism yang mengagumkan di Kedah, datanglah ke daerah Baling. Beberapa tempat menarik di Baling cukup mempersonakan terutama air terjun dan gunung. Selain itu, terdapat tarikan lain yang tidak kurang seronoknya seperti membeli-belah dan mandi di kolam air panas semulajadi.

Apa yang paling menggembirakan ialah semua tempat-tempat menarik ini tidak memerlukan perbelanjaan yang besar. Cuma lokasi tempat menarik agak berjauhan. Untuk lebih selesa, anda disyorkan mengambil penginapan samada hotel bajet atau homestay yang banyak dan murah. Dengan itu, anda boleh melawat destinasi pelancongan dan menjamu selera di tempat-tempat makan yang terkenal di daerah ini.

1.Kolam air panas Ulu Legong

Kolam air panas Ulu Legong ialah destinasi pelancongan dan percutian di Baling yang paling popular. Kawasan air panas atau hotspring ini telah dimajukan dimana kolam-kolam yang besar dibina dan kemudahan seperti tempat pengnapan serta kemudahan asas disediakan.Tempat ini menjadi tumpuan ramai pada hujung minggu dan cuti umum. Penduduk di Kedah biasanya datang pada waktu malam dan pulang pada awal pagi. Ramai yang datang membawa khemah masing-masing. Gerai-gerai makanan juga dibuka pada waktu malam untuk pengunjung menjamu selera.

2.Lata Bukit Hijau

Lata Bukit Hijau boleh dikatakan air terjun paling cantik di Kedah. Ia mempunyai tiga air terjun tinggi dengan kolam semulajadi yang luas. Air terjunnya juga besar dengan arus deras. Ia lebih sesuai untuk orang dewasa. Walau bagaimanapun terdapat kolam cetek dan air yang perlahan untuk kanak-kanak. Tangga dibina hingga ke air terjun paling atas.

Sayangnya kawasan air terjun ini tidak lagi diselenggara. Ia terbiar dan hampir semua prasarana rosak atau tidak boleh digunakan lagi. Jika anda ingin membawa keluarga berkelah, anda boleh ke satu lagi air terjun terkenal di Baling iaitu Lata Bayu. Namun jika anda ingin melihat air terjun paling cantik, anda mesti ke sini. Lata Bukit Hijau tidak akan mengecewakan.

3.Gunung Baling

Gunung Baling terletak di pekan Baling. Pengunjung yang bertandang kesini pasti tidak akan terlepas pandang. Ia adalah sebuah bukit batu kapur dengan ketinggian 420 meter, belum cukup untuk bergelar gunung. Namun itulah dia Gunung Baling.

Gunung ini menjadi terkenal setelah gambar menarik yang dirakam dari puncaknya tersebar. Ia lantas mengundang pengunjung dari luar untuk mendaki dan melihat sendiri keindahan pemandangan menarik pekan Baling serta kawasan sekitarnya dari tempat tinggi. Pendakian ke puncak gunung cuma mengambil masa lebih kurang 2-3 jam.

4.Pekan Baling

Jika sudah datang kesini, jangan lupa membeli-belah di Pekan Baling. Ia terkenal sebagai tempat untuk membeli periuk belanga dan pinggan-mangkuk murah. Ada sebuah kedai digelar Kedai Assalamualaikum. Kalau pengunjung cari kedai ini memang takkan jumpa sebab tiada kedai nama sedemikian disini. Namun jika anda ingin membeli periuk belanga sebesar kawah, datang ke Jalan Badlishah (Baling Uptown). Sampai sini tanya sahaja mana kedai Assalamualaikum. Anda akan terkejut nanti.

5.Gua Sireh

Gua Sireh adalah tarikan pelancongan baru di Baling yang semakin terkenal dikalangan pelancong tempatan. Ia terletak di Kampung Padang Che Mas. Gua sepanjang 400 meter ini cukup unik. Terdapat satu bahagian dimana dinding dan bumbung gua berwarna putih secara semulajadi. Gua Sireh baru sahaja dikenali dan kemudahan yang ada dibangunkan oleh persatuan penduduk. Laluan pejalan kaki dibina didalam gua. Kabel elektrik dan lampu juga dipasang. Semua ini sudah cukup membantu pengunjung meneroka dan melihat keindahan semulajadi didalam gua ini.

Anda tidak sempat membaca?

Klik butang di bawah untuk mendengar artikel penuh di atas.

Subscribe kami di channel WhatsApp, Telegram dan Follow kami di Tiktok untuk mendapatkan lebih banyak info menarik.

SUMBER :

https://ululegonghotspring.wixsite.com/ululegonghotspring

http://bukithijaufarm.blogspot.com/2011/05/lata-bukit-hijau.html

https://www.dreamstime.com/photos-images/gunung-baling.html

https://foursquare.com/v/pekan-baling-kedah/5054c0ebe4b088edb124e64c/photos

https://malaysiaaktif.my/2019/10/tujuh-minit-bergelap-di-gua-sireh/