Biografi Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah,DYYM Sultan Kedah ke 29
Politik

Biografi Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah,DYYM Sultan Kedah ke 29

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah (diputerakan pada 30 April 1942) ialah Sultan Kedah yang ke-29.Baginda telah diangkat sebagai Sultan Negeri Kedah Darul Aman pada 12 September tahun 2017.

Kehidupan awal

Sultan Sallehuddin diputerakan pada 30 April 1942, pada zaman pemerintahan paduka nenda baginda, Sultan Abdul Hamid Halim Shah.Bonda baginda, Tengku Asma merupakan puteri kedua Sultan Terengganu, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Baginda diputerakan di istana kerabat diraja Kedah, Istana Anak Bukit pada zaman penjajahan British. Baginda diputerakan dengan nama Tunku Mahmud Sallehuddin dan dibesarkan di Istana Anak Bukit.

Tunku Sallehuddin ialah anakanda kesembilan daripada 14 adik-beradik dan paduka putera keenam daripada 7 orang putera. Ayahandanya Almarhum Sultan Badlishah (1894-1958), Sultan Kedah ke-27 dan ibundanya ialah Sultanah Asma binti Almarhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah (1911-1994) yang merupakan anak perempuan Sultan Terengganu, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah.

Saudara kandungnya ialah Almarhum Tan Sri Tunku Annuar, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani, Dato’ Seri Tunku Hosnah, Dato’ Tunku Bisharah, Dato’ Tunku Badriatul Jamal’ Dato’ Tunku Kamaliah dan Dato’ Hajjah Tunku Nafisah manakala saudara tiri dari ayahanda yang sama ialah Almarhum Tunku Abdul Hamid, Almarhum Tuanku Abdul Halim, Almarhum Tunku Abdul Malik, Almarhum Tunku Mansur, Almarhumah Dato’ Seri Tunku Hamidah dan Dato’ Seri Tunku Sakinah.

Tunku Sallehuddin mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Alor Merah dan meneruskan pengajian di Kolej Sultan Abdul Hamid.[Baginda berkelulusan pendidikan tinggi daripada College of Military Engineering Poona di India.

Kerjaya tentera

Kerjaya tentera Tunku Sallehuddin bermula dengan menjalani latihan kadet di Akademi Ketenteraan India di Dehradun, India, dari 23 Julai 1962 sehingga 30 Jun 1963. Baginda ditauliahkan sebagai Leftenan Muda Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada 23 Oktober 1963. Pada 12 Februari 1964, baginda ditugaskan sebagai leftenan dan ditempatkan dengan Batalion ke-2 Rejimen Melayu Diraja di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan. Baginda kemudian dipromosikan ke pangkat Kolonel.

Sepanjang perkhidmatan, Tunku Sallehuddin telah terlibat dalam beberapa operasi keselamatan di kawasan sempadan Thailand.

Pewaris takhta

Tunku Temenggong Kedah

Tunku Sallehuddin telah diisytiharkan sebagai Tunku Temenggong pada 28 November 1981. Baginda menjadi salah satu anggota Jemaah Pemangku Sultan yang memerintah Kedah apabila kakanda sulung baginda, Sultan Abdul Halim berkhidmat sebagai Yang di-Pertuan Agong dari Disember 2011 hingga Disember 2016.

Raja Muda Kedah

Pada zaman pemerintahan paduka nenda baginda, Tunku Mahmud Sallehuddin merupakan pewaris kelima kepada tahkta singgahsana Kedah Darul Aman, di hadapan kakanda kandung baginda, Tunku Annuar. Apabila paduka nenda baginda mangkat pada tahun 1943 dan paduka ayahanda baginda mengganti sebagai Sultan Badlishah, baginda menjadi pewaris keempat menaiki takhta. Sepanjang pemerintah paduka kakanda baginda, adinda Sultan Abdul Halim dilantik menjadi Raja Muda Kedah memandangkan baginda tiada zuriat putera.Ketika Tuanku Abdul Halim yang berkhidmat sebagai Yang di-Pertuan Agong hampir berakhir pada 12 Disember 2016, Tunku Sallehuddin telah diisytiharkan sebagai Raja Muda Kedah pada usia 74 tahun, tidak lama setelah Tuanku Abdul Halim tiba kembali di Alor Star dalam satu majlis yang diadakan di Istana Anak Bukit, Alor Star, Kedah. Raja Muda Kedah ketika itu yang juga kakanda tiri baginda, Tuanku Abdul Malik, telah mangkat pada 29 Oktober 2015 di Hospital Sultanah Bahiyah.[Pengisytiharan pemasyhuran tersebut diadakan pada istiadat menjunjung duli keberangkatan pulang Sultan Abdul Halim dan dilakukan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri iaitu Dato’ Bakar Din di hadapan paduka kakanda baginda.Tunku Sallehuddin kemudian melafaz sumpah dan menandatangani Watikah Sumpah Raja Muda yang turut disaksikan oleh Ketua Hakim Syarie Negeri iaitu Dato’ Syeikh Abdul Rahman Abdullah dan Hakim Mahkamah Tinggi iaitu Dato’ Hashim Hamzah. Sultan Kedah pada waktu itu berkenan mengurniakan keris kebesaran Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah dan istiadat itu disusuli dengan paluan nobat serta sembilan das tembakan meriam.

Tunku Sallehuddin memegang beberapa kedudukan penting termasuk sebagai canselor Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya dan presiden Majlis Agama Islam Kedah.

Pemerintahan

Sultan Kedah

Sebelum pemakaman Almarhum paduka kakanda baginda, Tunku Sallehuddin, 75 tahun telah diisytiharkan sebagai Sultan Kedah ke-29 pada 12 September 2017 bagi menggantikan kakandanya, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, yang mangkat pada hari sebelumnya iaitu pada 11 September 2017.Pengisytiharan itu diumumkan pada 1.55 tengah hari di Istana Anak Bukit oleh Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.Perkara Sembilan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah memperuntukkan pelantikan untuk menaiki takhta kerajaan negeri Kedah ditetapkan Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja. Sejurus pengumuman itu, Dato’ Pengelola Bijaya Diraja yang juga Ketua Istiadat, Dato’ Syed Unan Mashri Syed Abdullah, mengiring Tunku Sallehuddin, untuk bersemayam di singgahsana, sebelum disusuli laungan “Daulat Tuanku” oleh hadirin sebanyak tiga kali diikuti tiupan nafiri dan bacaan doa oleh Mufti Kedah, Dato’ Syeikh Fadhil Awang.Keputusan melantik baginda sebagai Sultan Kedah yang baru dibuat Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja Negeri Kedah pada hari kemangkatan Almarhum paduka kakanda baginda.

Pada usia 75 tahun, Baginda merupakan raja memerintah yang tertua pada usia menaiki takhta. Rekod sebelum ini dipegang oleh Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn yang menaiki takhta secara rasmi pada 13 Oktober 2016 pada usia 64 tahun setelah kemangkatan mendiang Raja Bhumibol Adulyadej.

Sultan Sallehuddin ditabal sebagai Sultan Kedah Ke-29 dalam satu istiadat pertabalan yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Anak Bukit pada 22 Oktober 2018. Sebaik selesai ditabalkan, baginda Sultan kini bergelar Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah. Istiadat Pertabalan baginda itu juga berlangsung dalam suasana penuh tradisi dan adat resam Kesultanan Melayu Kedah selepas kali terakhir istiadat yang sama diadakan pada 1959, iaitu ketika Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ditabalkan sebagai Sultan Kedah Ke-29

Terasul, gelaran, kurniaan dan lambang

Terasul dan gelaran

  • 30 April 1942 – 13 Mei 1943: Yang Mulia Tunku Mahmud Sallehuddin ibni Tunku Badlishah.
  • 13 Mei 1943 – 13 Julai 1958: Yang Amat Mulia Tunku Mahmud Sallehuddin ibni Sultan Badlishah.
  • 13 Julai 1958 – 28 November 1981: Yang Amat Mulia Tunku Mahmud Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah.
  • 28 November 1981 – 30 Jun 2011: Yang Amat Mulia Tunku Dato’ Seri Diraja Mahmud Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah, Tunku Temenggong Kedah.
  • 30 Jun 2011 — 15 Disember 2016: Yang Amat Mulia Tunku Tan Sri Dato’ Seri Diraja Mahmud Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah, Tunku Temenggong Kedah, Pengrusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Darul Aman
  • 15 Disember 2016 – 12 September 2017: Duli Yang Teramat Mulia Tunku Tan Sri Dato’ Seri Diraja Mahmud Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah, Raja Muda Kedah XIX.
  • 12 September 2017 – 22 Oktober 2018: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan dan Raja Pemerintah 29 Negeri Kedah Darul Aman dan segala jajahan takluknya.
  • 22 Oktober 2018 – kini: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan dan Raja Pemerintah 29 Negeri Kedah Darul Aman dan segala jajahan takluknya.
  • Jawi: کباوه دولي يڠ مها موليا الأمين الکريم سلطان صالح الدين ابن المرحوم سلطان بدلي شاه، سلطان دان راج ڤمرينته يڠ ک-29 نݢري قدح دار الأمان دان سݢالا جاجهن تعلوقڽ.

Kurniaan

Kurniaan Kedah

  •  Raja dan Ketua bagi Darjah Kerabat Diraja Kedah (DK) 
  •  Raja dan Ketua bagi Darjah Kerabat Halimi Yang Amat Mulia Kedah (DKH)
  •  Raja dan Ketua bagi Darjah Utama Untuk Jasa Kedah (DUK)
  •  Raja dan Ketua bagi Darjah Utama Sri Mahawangsa Yang Amat Dihormati (DMK)
  • Raja dan Ketua bagi Darjah Utama Seri Maharaja Bintang Darul Aman Kedah (SMDK)
  •  Raja dan Ketua bagi Darjah Seri Setia Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (SHMS)
  • Raja dan Ketua bagi Darjah Seri Gemilang Seri Mahkota Kedah Yang Amat Dihormati (SGMK)
  •  Raja dan Ketua bagi Darjah Seri Paduka Mahkota Kedah (SPMK)
  •  Raja dan Ketua bagi Darjah Seri Setia Diraja Kedah Yang Amat Dihormati (SSDK)
  •  Dato’ Setia Diraja Kedah Darjah Yang Mulia Setia Diraja (DSDK, 28.11.1982) membawa gelaran Dato’
  •  Bintang Perkhidmatan Yang Berbakti Negeri Kedah (BCK, 28.11.1970)
  • Pingat Pertabalan Negeri Kedah 1943
  • Pingat Pertabalan Negeri Kedah 1959
  • Pingat Peringatan Jubli Perak
  • Pingat Peringatan Jubli Mas

Kurniaan Malaysia

  • Malaysia :
    •  Ahli (DMN, 15.10.2018) Darjah Utama Seri Mahkota Negara
    •  Panglima Setia Mahkota Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia (PSM, 4.6.2011) membawa gelaran Tan Sri
    •  Panglima Gagah Angkatan Tentera Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera (PGAT)
    •  Kepujian Perutusan Keberanian (KPK, 1974)
    • Pingat Perkhidmatan Am (PPA)
  • Kelantan :
    •  Penerima Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (DK, 30.9.2017) (Bintang Al-Yunusi)
    •  Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia, Darjah Seri Paduka Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (Bintang Al-Muhammadi) membawa gelaran Dato’ (SPMK, 28.11.2016)
  • Johor :
    •  Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (DK I, 30.10.2017)
  • Perak Darul Ridzuan :
    •  Penerima Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (D.K.) (4.12.2017)
  • Selangor :
    •  Darjah Pertama Darjah Kerabat Selangor Yang Amat Dihormati (DK I, 25.1.2018)
  • Negeri Sembilan :
    •  Ahli Darjah Kerabat Negeri Sembilan Yang Amat Mulia (DKNS, 21.8.2018)
  • Perlis:
    •  Ahli Darjah Kerabat Perlis Baginda Tuanku Syed Putra Jamalullail Yang Amat Dihormati (DK, 13.9.2018)
  • Pahang Darul Makmur:
    •  Darjah Kerabat Sri Indera Mahkota Pahang Yang Amat Dihormati – Kelas I (DK I, 5.9.2019)