Harga rumah dijual serendah RM45,000 di Langkawi
Ekonomi Hartanah

Harga rumah dijual serendah RM45,000 di Langkawi

Muhammad Sanusi (kanan) dan Che Had dalam Majlis Pelancaran Skim Perumahan Mampu Milik Aman Nusa di Kuah, Langkawi pada 22 Mei 2023.

Rumah baharu yang bakal dijual serendah RM45,000 kini boleh didapati di Langkawi, hasil projek pertama dibangunkan di pulau itu oleh anak syarikat kerajaan negeri (GLC), Kumpulan Bina Darul Aman (BDB).

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, borang pendaftaran bagi membeli Rumah Kasih Rakyat yang dibina oleh BDB sebanyak 35 unit itu oleh didapati di pusat jualan Darul Aman Century, Lubuk Sembilang, Langkawi.

“Rakyat Langkawi khususnya dari golongan B40 dan M40 yang belum mempunyai kediaman sendiri agar tidak melepaskan peluang keemasan mendapatkan kediaman masing-masing,” katanya. 

Menurut beliau lagi, selain Rumah Kasih Rakyat itu, 12 unit Rumah Makmur Kedah dan sembilan unit Rumah Aman Kedah juga bakal dibina melalui Skim Perumahan Mampu Milik Aman Nusa di Langkawi dalam tempoh terdekat. 

“Perumahan mampu milik itu akan dibangunkan di tanah seluas 16.9 ekar di Mukim Bandar Kuah dengan anggaran kos berjumlah RM60.7 juta.

“Rumah Kasih Rakyat merupakan rumah kos rendah, manakala Rumah Aman Kedah dan Rumah Makmur Kedah pula rumah kos sederhana rendah yang telah dijenamakan semula oleh kerajaan negeri sebelum ini,” jelasnya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancarannya di Hotel Adya, Langkawi, semalam, dan yang turut hadir ialah Pengerusi BDB, Sr. Che Had Dhali.

Dalam masa yang sama, ujar Muhammad Sanusi, projek berkenaan akan turut merangkumi perancangan pembinaan 120 unit rumah teres satu tingkat dan 27 unit kedai pejabat dua tingkat yang dijangka pembangunannya bermula hujung 2023 dan bakal siap menjelang pada 2025. 

“Difahamkan lokasi kawasan perumahan itu sangat strategik iaitu hanya empat kilometer dari Pekan Kuah dan lima kilometer dari Terminal Feri Langkawi.

“Lokasinya cukup strategik yang memudahkan penduduk yang tinggal di kawasan berkenaan untuk bekerja atau berurusan di tanah besar,” ujarnya.