Istana Kedah di Pulau Pinang,simbol kedaulatan negeri Kedah dan jajahan takluknya
Sejarah

Istana Kedah di Pulau Pinang,simbol kedaulatan negeri Kedah dan jajahan takluknya

Pulau Pinang merupakan sebahagian daripada negeri Kedah Darul Aman pada asalnya. Namun kelicikan dan strategi penjajahan British menjadikan Pulau Pinang terpisah dari Kedah sehingga kini. Sebelum kedatangan Inggeris, Pulau Pinang pada awalnya merupakan sebahagian daripada Kesultanan Melayu Kedah. Ketika itu Kedah diterajui oleh Sultan Abdullah Mukkaram Shah yang merupakan Sultan Kedah ke-20.

Pada tahun 1785, Francis Light telah gagal untuk meyakinkan Syarikat Hindia Timur Inggeris (British East India Company) untuk menduduki Ujung Salang yang terletak di Phuket. Kemudian pada tahun 1786 Francis Light telah mengalihkan pandangannya untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai pusat perdagangan Inggeris pertama di Timur Jauh.

Ketika itu Siam dan Burma cuba meluaskan kekuasaan mereka, dan Siam ketika itu telah berjaya menawan kerajaan Melayu Pattani yang mana sehingga sekarang kawasan tersebut telah menjadi sebahagian daripada Thailand. Jadi bagi mengelakkan dari menerima nasib yang sama seperti Pattani, perjanjian di antara Sultan Abdullah dan Francis Light telah berlaku.

Francis Light telah memujuk Sultan Kedah untuk menyerahkan Pulau Pinang kepada Syarikat Hindia Timur Inggeris dengan jaminan perlindungan ketenteraan bagi menanangani pasukan Siam dan Burma yang mengancam Kedah.

Namun begitu Francis Light tidak menepati janji yang telah dibuat. Pada tahun 1970, apabila Sultan Abdullah mengetahui bahawa British tidak akan memberi perlindungan, baginda membentuk pasukan tentera untuk menyingkirkan British. Baginda mengumpulkan tentera di Prai untuk merebut kembali Pulau Pinang namun telah dikalahkan apabila Francis Light terlebih dahulu melakukan serangan yang memaksa baginda untuk berundur.

Akhirnya pada 1791, Sultan Abdullah menandatangani perjanjian dengan menyerahkan Pulau Pinang dan seterusnya Prai kepada pihak British. Kapten Francis Light akan membayar pajakan kepada Sultan sebanyak 6,000 dolar Sepanyol setiap tahun. Ekoran perjanjian ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang masih membayar RM18,800.00 kepada Sultan Kedah setiap tahun.

Kalau anda suka melancong ke wilayah yang terkenal dengan jolokan pulau Mutiara ini, pasti anda akan perasan akan sebuah Istana yang terlatak di sana. Istana yang terletak di No.54,Jalan Sultan Ahmad Shah,Georgetown ini dinamakan Istana Kedah (Kedah House) ini merupakan kediaman Sultan Kedah di Pulau Pinang.Istana ini tidak dibuka kepada orang awam.Namun begitu ia masih kukuh terpelihara menjadi simbol kedaulatan negeri Kedah dan jajahan takluknya.

Susur galur kesultanan Kedah merupakan antara yang tertua di Malaysia. Dalam lipatan sejarah, Sultan Kedah yang pertama telah mula memerintah pada tahun 1136 lagi. Kini, Sultan Salehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah merupakan Sultan Kedah ke-29.