Kedah henti sambung lesen vape – Sanusi
Berita Terkini

Kedah henti sambung lesen vape – Sanusi

ALOR SETAR – Nampaknya Kedah tak akan sambung lesen jualan rokok elektronik atau vape lepas ni. Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, kerajaan negeri ambil keputusan tu sebab bimbang vape ni dah jadi ‘alat’ untuk orang salah guna dadah, terutamanya dadah sintetik.

Dalam mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah semalam, isu ni turut dibincangkan. Rupanya ada pihak yang ambil kesempatan jual dadah sintetik dalam bentuk cecair yang boleh dihisap guna vape. Jadi, kata Sanusi, kalau halang jualan vape, itu salah satu cara nak cegah dadah daripada terus menular.

“Ini bukan benda kecil. Kita kena berhati-hati. Lesen yang ada sekarang pun kita tak sambung. Sebab kalau terus haramkan serta-merta, takut nanti ada pihak bawa kes ke mahkamah, boleh jadi isu besar,” katanya lepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Negeri hari ini.

Sanusi tambah lagi, harapan kerajaan negeri ialah supaya larangan jual vape – termasuk di kedai runcit – boleh dikuatkuasa sepenuhnya tahun depan, lepas semua lesen tamat tempoh dan tak disambung.

Sementara tu, kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan semua pihak termasuk Pegawai Daerah, Ketua Polis Daerah dan AADK untuk teruskan usaha banteras dadah sampai ke akar umbi.

“Dadah ni dah jadi macam kudis dan barah dalam masyarakat. Kalau tak rawat cepat-cepat, makin parah nanti,” katanya lagi.

Untuk rekod, Perlis sebelum ni dah pun umumkan pengharaman jualan vape berkuat kuasa 1 Ogos, selaras dengan keputusan fatwa negeri yang dah isytihar vape haram sejak 2022.

Nak tanya, hangpa setuju tak dengan langkah Kedah ni?