Sejarah

Sejarah Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim yang digelapkan oleh British ?

Lapangan Terbang Di Alor Setar

Bagaimana jika saya memberitahu bahawa 23 tahun sebelum Malayan Airways Ltd memulakan perkhidmatan penerbangan atau lima tahun sebelum pembinaan Lapangan Terbang Taiping, Perak, terdapat satu lapangan terbang pertama yang telah dibina di Tanah Melayu? Atau mungkin terdapat sejarah tersembunyi yang merakamkan satu kisah lain di sebalik itu, menjadikan Lapangan Terbang Sungai Besi bukanlah lapangan terbang pertama yang dibina di Malaysia.

Melalui ulasan yang mendalam oleh seorang peguam dan ahli sejarah bernama Yusrin Faidz, beliau menjelaskan bahawa Lapangan Terbang Alor Setar, yang kini dikenali sebagai Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, sebenarnya adalah lapangan terbang pertama di Tanah Melayu. Ini telah disahkan melalui tarikh yang lebih awal, iaitu enam tahun sebelum pembinaan Lapangan Terbang Sungai Besi dan lima tahun sebelum pembinaan Lapangan Terbang Taiping. Pada 21 November 1924, sebuah pesawat dari Royal Dutch Airlines (KLM) telah mendarat di Kepala Batas, Alor Setar.

Sejarah pendaratan di Lapangan Terbang Alor Setar

Pada tahun 1928, dalam buku bertajuk “Touring The Tropics At Top Speed,” dicatatkan bahawa KLM, melalui ejennya KLM Hindia Belanda (KNILM), rutin mendarat di Alor Setar sekali seminggu. Pada tahun 1931, Will Rogers, seorang bintang Hollywood yang sedang dalam perjalanan ke Bangkok menggunakan pesawat KLM, pernah singgah dan bermalam di Alor Setar.

Manakala pada tahun 1935, terdapat gambar yang mengabadikan perjalanan udara oleh Imperial Airways, sebuah syarikat penerbangan British, yang menjadikan Kepala Batas sebagai satu daripada destinasi persinggahan penting dalam laluan penerbangan mereka.Lapangan Terbang Alor Setar juga telah menjadi lokasi persinggahan untuk acara perlumbaan pesawat udara ‘MacRobertson Air Race’ pada Oktober 1934.

Kenapa sejarah ini digelapkan?

Dalam ulasannya, Yusrin Faidz juga mengemukakan soalan yang sama, iaitu mengapa pihak British menyembunyikan sejarah ini.

Dengan semua bukti yang diberikannya dan perbezaan masa yang besar antara Lapangan Terbang Alor Setar dan Lapangan Terbang Sungai Besi Kuala Lumpur, ini menimbulkan pertanyaan mengapa sejarah ini tidak pernah diberitahu. Menurut pandangan kami, Lapangan Terbang Alor Setar mungkin tidak diiktiraf sebagai lapangan terbang pertama kerana ketika itu tidak ada bangunan yang menjadikannya pusat penerbangan utama di Tanah Melayu.

Rekod lama menunjukkan bahawa tiada struktur bangunan kecuali landasan kapal terbang yang telah dibina di tengah-tengah sawah padi. Sejarah mencatatkan Lapangan Terbang Taiping sebagai lapangan terbang tertua di Malaysia yang mula dibina pada tahun 1929. Lapangan ini menjadi pusat persinggahan bagi penerbangan komersial, bukan untuk kegunaan ketenteraan. Ini dapat dibuktikan melalui risalah yang diterbitkan oleh Foreign Aeronautical News yang menyatakan bahawa satu lapangan terbang sedang ‘dibina’ pada awal tahun 1931 di sekitar Alor Setar.

Jadi, kesimpulannya, ketiadaan bangunan dan infrastruktur telah menyebabkan sejarah ini tidak dicatat dan tidak dianggap sebagai lapangan terbang pertama di Tanah Melayu pada masa itu.

SUMBER :
https://soscili.my/lapangan-terbang-alor-setar-dijadikan-tempat-persinggahan-acara-perlumbaan-pesawat-udara-dunia/

https://www.thevocket.com/sejarah-lapangan-terbang-sultan-abdul-halim-yang-digelapkan-british/

Anda tidak sempat membaca?

Klik butang di bawah untuk mendengar artikel penuh di atas.

https://greaterkedah.com/wp-content/uploads/2023/10/ttsmaker-file-2023-10-10-13-1-37.mp3

Subscribe kami di channel WhatsApp, Telegram dan Follow kami di Tiktok untuk mendapatkan lebih banyak info menarik

Exit mobile version