SEJARAH PENDANG, KEDAH
Sejarah

SEJARAH PENDANG, KEDAH

Asal-usul nama ‘Pendang’ dikatakan berasal dari perkataan ‘Pendiat,’ yang merujuk kepada parit atau lubang khusus yang digali untuk menangkap dan menjinakkan gajah. Gajah-gajah yang telah dijinakkan dimandikan di sebuah tasik bersejarah yang terletak berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah Pendang.

Menurut catatan sejarah, tasik ini adalah sumber air utama dan tidak pernah kering walaupun dalam musim kemarau yang panjang. Anak-anak gajah dirawat di sebuah kampung yang dinamakan Kubang Anak Gajah dan gajah-gajah yang meninggal dunia akan dikuburkan di kawasan yang dikenali sebagai Kampung Gajah Mati.

Pada zaman dahulu, Pendang menjadi pusat pembiakan gajah yang paling besar dan terkemuka di Negeri Kedah, bersama dengan Mukim Naga di Daerah Kubang Pasu. Gajah-gajah memegang peranan penting sebagai alat pengangkutan utama, terutamanya untuk perjalanan darat membawa ‘ufti’ (Bunga Emas) ke Negeri Siam.

Pendang merupakan sebuah daerah di dalam Negeri Kedah Darul Aman, yang secara rasmi ditubuhkan pada 1 Februari 1975. Ia bersempadan dengan Daerah Kota Setar di bahagian Utara, Daerah Yan di Barat, Daerah Padang Terap dan Sik di sebelah Timur, serta Daerah Kuala Muda di bahagian selatan. Luas Daerah Pendang adalah 62,929 hektar atau 629.29 kilometer persegi, terbahagi kepada lapan mukim iaitu Tobiar, Padang Pusing, Guar Kepayang, Padang Peliang, Rambai, Bukit Raya, Padang Kerbau, dan Air Puteh. Daripada luas tersebut, 27,639 hektar tanah di Daerah Pendang digunakan untuk penanaman getah manakala 18,462 hektar lagi digunakan untuk penanaman padi.

Di antara tanaman yang semakin pesat ditanam di Daerah Pendang termasuklah rambutan, durian, cempedak, mangga, dokong, limau bali, nangka, dan manggis. Sektor perniagaan di Daerah Pendang dibahagikan kepada dua kategori utama, iaitu perniagaan formal (peruncitan dan perkhidmatan) dan perniagaan tidak formal (gerai dan penjaja). Aktiviti perniagaan di Daerah Pendang memberi tumpuan terutamanya di kawasan pemukiman utama seperti Pekan Pendang, Tanah Merah, Tokai, Kubur Panjang, Bukit Jenun, Kilang Kechik, Kokbah, dan Kampung Baru.

RUJUKAN:

TEMPAT MENARIK