Telaga Tok Syeikh? Padang Tok Syeikh? (Gunung Jerai)
Sejarah

Telaga Tok Syeikh? Padang Tok Syeikh? (Gunung Jerai)

Sebelum semua pihak membuat serta membawa cerita serta membuat hukum khurafat, dan sebagainya mari menyelusuri sejarah apa yang menjadikan Gunung Jerai itu istimewa.Sejarah bermula apabila Sheikh Abdullah Al Qumairi merupakan seorang ulama yang berasal dari Yemen berjaya mengislamkan Raja Kedah ke-9 iaitu Maharaja Derbar Raja.Kemudian Baginda kemudian menukar nama kepada Sultan Muzaffar Shah dan menamakan negeri Kalaha kepada Kedah.Masyarakat Melayu ketika itu, biasanya akan mengikut agama serta anutan pemerintah, oleh itu pengislaman berlaku secara besar-besaran di negeri Kedah yang mempunyai jajahan luas sehingga ke beberapa daerah di Thailand.

Kejayaan dakwah Sheikh Abdullah juga terbukti apabila pembesar istana juga turut menerima ajaran Islam.Sheikh Abdullah yang menjadi penasihat baginda kemudian mencadangkan kepada sultan agar membuat menara di puncak Gunung Jerai bagi melaksanakan azan dan juga satu tempat bagi memperingati pertukaran nama baginda serta nama negeri Kedah.Cadangan itu diperkenankan baginda dan pekerja bersama berkumpul di puncak Gunung Jerai dan mula mendirikan menara tersebut di bawah penjagaan Sheikh Abdullah.

Telaga Tok Sheikh itu wujud apabila beliau memerlukan air untuk kerja pembinaan menara dan juga keperluan pekerja.Ditakdirkan Allah, air dari dalam tanah tidak pernah kering sampai ke hari ini.Namun, apabila menara yang hendak dibina itu hampir siap, Sheikh Abdullah jatuh sakit dan meninggal dunia tidak lama kemudian.Ketika akhir nafasnya, Sheikh Abdullah mewasiatkan supaya beliau dikebumikan di tanah rata berhampiran menara tersebut.

Wasiat berkenaan telah dilaksanakan dengan baik oleh Sultan dan para menterinya.

Disebabkan itu, sehingga hari ini tanah rata di Puncak Gunung Jerai dipanggil dengan panggilan Padang Tok Sheikh sempena mengambil nama Sheikh Abdullah.

Tak sepatutnya, apabila ada mana-mana pihak yang mandi atau mengambil wuduk menggunakan air semula jadi kurniaan Allah SWT di telaga Tok Sheikh terus dianggap sebagai khurafat.

Ini kerana Telaga Tok Syeikh adalah tinggalan sejarah yang penting buat umat Islam di Kedah dan sekitarnya, menghayati sejarah itu menjadikan generasi kini tidak lupa diri, dan menguatkan jati diri.

SUMBER KREDIT <<DISINI>>

Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah (2018: 53-54) menyebutkan:

‘Syahadan, maka pada suatu hari Duli Baginda Sultan bertanya kepada Tuan Syeikh Abdullah, “Apa yang kemuliaan di dalam Tanah Arab?”. Maka sembah Tuan Syeikh Abdullah, “Adalah yang kemuliaan di Tanah Arab itu, lain daripada masjid, namanya bendahara (menara), tempat orang-orang bang (azan) dan memuji-muji nama Tuhan dan Rasul di atas bendahara itu. Jika Shah Alam hendak perbuat patik hamba pun boleh petakan sifatnya”. Maka Duli Baginda Sultan Yang Maha Mulia pun suka mendengar sembah Tuan Syeikh Abdullah itu. Duli Baginda Sultan pun bertitah kepada menteri-menteri suruh cari juru-juru perbuat bata dan pandai besi.

Hatta, selang tiada berapa lama bata-bata itu pun siaplah. Maka Duli Baginda Sultan dan Tuan Syeikh Abdullah dan menteri-menteri pun berangkat naik ke atas GUNUNG JERAI, hendak mencari tempat perbuat bendahara, menjadikan suatu tanda masa berubah nama raja dan nama negeri, menjadi suatu ingatan pada hari yang kemudian. Maka sampailah ke mercu GUNUNG JERAI itu. Maka diperkenan oleh Duli Baginda Sultan Yang Maha Mulia tempat itu. Maka menteri-menteri pun memberi hukum pada rakyat-rakyat suruh bawa naik bata-bata yang sudah siap itu ke mercu GUNUNG JERAI. Maka batu itu pun diangkut oleh oranglah. Maka juru-juru bata dan pandai pun berhimpun di GUNUNG JERAI itu, perbuat seperti kehendak Tuan Syeikh Abdullah itu. Demikianlah tiap-tiap hari diperbuat orang pekerjaan itu. Maka, sudah tentu dengan pekerjaan, Duli Baginda Sultan Yang Maha Mulia pun berangkat kembali ke istananya.

Ada pun Tuan Syeikh Abdullah itu tiap-tiap hari duduk jaga pekerjaan itu. Lepas ia tunjuk, turun berhenti suatu padang di atas GUNUNG JERAI, dekat dengan tempat orang-orang perbuat bendahara itu. Demikianlah hal Tuan Syeikh Abdullah itu sehari-hari. Maka tapak bendahara itu pun hampir hendak siap. Maka ditakdirkan Allah Subhanahu wa Taala, Tuan Syeikh pun jatuh sakit. Maka dimaklum oleh menteri kepada Duli Baginda Sultan Yang Maha Mulia di Kota Bukit Meriam, mengatakan Tuan Syeikh Abdullah sakit. maka Duli Baginda Sultan pun berangkat naik ke atas GUNUNG JERAI, melihat Tuan Syeikh sakit banyak.

Maka berwasiat Tuan Syeikh kepada Duli Baginda Sultan Yang Maha Mulia, “Hendaklah Shah Alam berbanyak sabar dan ihsan dan insaf di atas sekalian hamba Allah isi negeri, maka itulah maqam segala raja. Dan patik hamba harap jika habis umur patik hamba, hendaklah Shah Alam tanam patik hamba di tempat ini.” Habis wasiatnya Tuan Syeikh Abdullah pun Kembali ke Rahmatullahi Taala. Maka diperintah oleh Duli Baginda Sultan disimpan di padang itu juga. Maka padang itulah disebut orang PADANG TOK SYEIKH. Setelah selesai daripada menyimpan Tuan Syeikh itu Duli Baginda Sultan Yang Maha Mulia pun berangkat ke istananya dengan kemasygulan.’

SUMBER ASAL

<<BACAAN SELANJUTNYA>>